Tuesday 23 April 2019

PROGRAM MOTIVASI ' KALAU SAYA BOLEH, KENAPA ANDA TIDAK BOLEH'


Pada Selasa, 16 April yang lalu bertempat di Dewan Terbuka SMK Mambau telah berlansungnya satu ceramah motivasi bertajuk 
' KALAU  SAYA BOLEH, KENAPA ANDA TIDAK BOLEH ' .

Satu tajuk yang menarik dan hebat, sudah pasti penceramah nya juga seorang yang hebat.



Ceramah ini telah disampaikan oleh Mohd Shafiq bin Badarulhisham seorang OKU (masalah pembelajaran). Status anak muda ini tidak  pernah mematahkan semangatnya untuk terus belajar dan mengejar cita-cita. Beliau kini sedang menuntut di Tahun 3 dalam Jurusan Sains Komputer, Universiti Malaya . 

Ceramah ini bukan dikhaskan untuk pelajar PPKI sahaja, tetapi turut melibatkan pelajar tingkatan 3 dan 4 aliran perdana.



Sedikit perkongsian tentang Mohd Shafiq, nama diberi Mohd Shafiq bin Badarulhisham. Berusia 29 tahun. Berasal dari Ayer Hitam, Kedah tapi kini menetap di Batu Caves, Selangor. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Taman Koperasi Fasa 2 dari tahun 1997-2003. Tanpa mengambil UPSR, beliau meneruskan persekolahan peringkat menengah di SMK Seksyen 5, Wangsa Maju. Sewaktu beliau  di sekolah menengah, beliau mengambil peperiksaan PMR dan SPM.




Selepas SPM, ramai yang mendorong supaya beliau mengambil kemahiran di Giat Mara sahaja, namun beliau tidak kurang berminat tetapi lebih cenderung untuk mengambil Sijil Teknologi Maklumat di Kolej Islam Antarabangsa.

Berjaya di peringkat sijil dengan CGPA 3.50, beliau meneruskan pengajian di peringkat Diploma Teknologi Maklumat pula, Sekali lagi beliau menunjukkan prestasi yang cemerlang dan telah berjaya mendapat sijil dekan sebanyak dua kali.




Fuhhhh...memang hebat insan yang bernama Mohd Shafiq ini, tidak pernah merasa rendah diri dengan kekurangan diri nya. 

Setelah tamat pengajian di peringkat diploma, beliau memohon melalui UPU untuk belajar di universiti, tapi malangnya permohonan beliau tidak berjaya. Namun ini tidak lansung mematahkan semangat beliau untuk menjejakkan diri ke menara gading, surat rayuan ditulis dan dihantar kepada Universiti Malaya dan akhirnya pihak fakulti telah menelefon memaklumkan bahawa permohonan beliau telah diterima.


Di UM, beliau diberi peluang belajar yang sama seperti pelajar biasa. 
Beliau juga sering mendapat liputan media. 
Diantaranya ialah BFM 89.9 : Going Through University With Autism,
TV Al-Hijrah :Outstanding Alumni Awards dan MHI-TV3 : Yoga Untuk Golongan OKU.

Beliau menegaskan untuk berjaya kunci yang utama adalah disiplin, bijak mengurus masa,hormat ibu bapa dan guru.



Saudara Mohd Shafiq layak dijadikan idola oleh para pelajar SMK Mambau kerana disebalik kekurangan yang dimiliki tersemat satu keazaman yang kuat untuk bersaing dengan orang yang normal di luar sana. Status OKU yang dimiliki bukan alasan untuk merasa tersisih dan merasa rendah diri malah seharusnya menjadi pemangkin untuk terus berjaya.












Untuk pengetahuan semua, Mohd Shafiq ialah bekas anak murid cikgu Margaret Mary sewaktu bertugas di Kuala Lumpur dulu.Memang tiada apa yang lebih membanggakan seorang guru selain melihat anak didiknya berjaya. Tahniah cikgu Margie.




Sebelum balik Shafiq meluangkan sedikit masa untuk mendekati serta mengenali adik-adik PPKI SMK Mambau. 








Terima kasih yang tidak terhingga kepada saudara Mohd Shafiq diatas perkongsian ilmu yang sangat menarik dan dapat dijadikan motivasi untuk kami di sini.  Diharapkan kata-kata nasihat dari beliau akan membakar semangat adik-adik di PPKI SMK Mambau ini untuk terus menimba ilmu. Besar harapan ada diantara mereka yang dapat mengikut jejak langkah  seperti Shafiq. Kalau Shafiq boleh kenapa anda tidak boleh!!
Kami di sini mendoakan semoga beliau terus berjaya di dalam pelajaran dan memperolehi kerjaya yang baik kelak.

Tahniah kepada semua yang telah menjayakan program ini  'Keep Moving !  Keep Driving ! Don't Quit !







1 comment:

  1. penulisan yang memotivasikan juga....blogger hebat👏

    ReplyDelete