Tuesday 25 December 2012

PROFIL PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI


PENGENALAN

 

Pendidikan Khas merupakan pendidikan yang memfokuskan masalah kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran. Ini berpunca daripada masalah fizikal dan mental. Pendidikan Khas ini disediakan khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Mereka termasuk dalam golongan kanak-kanak yang dikenal pasti dan disahkan oleh pakar professional klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu masalah pembelajaran. Kecacatan yang dialami boleh dikategorikan mengikut tahap kefungsian kanak-kanak dalam kebolehan-kebolehan berikut :
 
  • Kebolehan kognitif
  • Tingkah laku sosial / perkembangan sosial
  • Penguasaan bahasa lisan dan pertuturan
  • Penguasaan membaca
  • Kemahiran perkembangan (development skills)
  • Kemahiran matematik
  


Falsafah pendidikan Negara

 

            Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bagi melahirkan warga Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.

 

Falsafah Pendidikan Khas

 

            Pendidikan Khas di Malaysia adalah suatu usaha berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, boleh merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sebagai individu dan sebagai ahli masyarakat yang seimbang serta dapat memberikan sumbangan dan keharmonian kepada kemakmuran Negara.

 

Visi Pendidikan Negara

 

            Menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada murid-murid berkeperluan khas ke arah kecemerlangan hidup sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
 
 


Misi Pendidikan Khas


 

            Menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid berkeperluan khas untuk menjadikan mereka insan yang dapat berdikari, berjaya dalam hidup dan memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat dan Negara.
 
Maksud Pendidikan khas
 
            Pendidikan Khas bererti program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid-murid khas. Ini termasuk penggunaan bahan-bahan khas, peralatan khas, teknik pengajaran dan pembelajaran mengikuti tahap kebolehan dan keupayaan murid.
Ia bertujuan untuk MENDIDIK dan MEMBENTUK murid melalui
 
  • Perkembangan mental
  • Kestabilan emosi
  • Integrasi sosial
 
Ciri-ciri Pendidikan Khas
 
Antara beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkaan sebelum program pendidikan khas dapat dilaksanakan adalah seperti berikut:
  • Guru-guru terlatih khas
  • Pendekatan pelbagai disiplin
  • Program pendidikan individu
  • Kurikulum khas
  • Objektif yang nyata, bermakna dan berjangka pendek
  • Analisis tugasan
  • Penglibatan murid secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran
  • Penilaian berterusan, penyimpanan rekod dan RPI
  • Kaedah pengajaran khas
  • Bimbingan dan kaunseling ibu bapa dan murid
 
Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi ( PPKI )
 
            Program Pendidikan Khas Integrasi merupakan sebuah kelas yang dikhaskan untuk kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pembelajaran. Walaupun mereka bermasalah dalam pembelajaran tetapi mereka masih lagi boleh memahami arahan. Pengajaran yang ditekankan di sini lebih merupakan latihan kemahiran diri atau kemahiran hidup yang boleh diadaptasikan oleh kanak-kanak ini dalam kehidupan seharian mereka. Ini selaras dengan pendekatan baru yang menekan kepada kebolehan kefungsian, kemahiran, perkembangan, penguasaan dan pencapaian kanak-kanak tersebut dalam kemahiran-kemahiran pengembangan ( Development Skills ).
 
 
 
Kelas Pendidikan  Khas Inklusif
 
Pendidikan inklusif adalah program bagi menempatkan murid  Pendidikan Khas yang telah menguasai sebahagian besar mata pelajaran ( akademik ) ke kelas biasauntuk mengikuti suasana pembelajaran normal. Program Pendidikan inklusif ini boleh dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah bergantung kepada laporan prestasi atau  Rancangan Pendidikan Individu
 
Pendidikan inklusif voleh dijalankan dalam dua bentuk
 
a)         Separa inklusif            :           Pelajar mengikuti pembelajaran di kelas biasa untuk mata pelajaran tertentu sahaja. Waktu selebihnya mengikuti program di kelas khas. Senarai nama murid berada di dalam daftar Program Pendidikan Khas. Guru Pendidikan Khas terlibat sebagai pembimbing atau pendamping. Ujian mata pelajaran terlibat sama dengan murid biasa.
 
           b)         Inklusif sepenuh masa :           Murid mengikuti semua mata pelajaran di kelas biasa seperti murid biasa. Senarai murid kekal dalam daftar kelas khas. Guru kelas biasa boleh rujuk atau minta bantuan daripada guru pendidkan Khas ( guru pendamping) sekiranya terdapat sebarang masalah sama ada dari segi akademik boleh diberi peluang untuk mengambil peperiksaan UPSR/PMR/SPM dan sebagainya
 
 
                                                                                                                                               
                                                                                                           

 

 

Sunday 23 December 2012

Sejarah Penubuhan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK MAMBAU



Program Pendidikan khas Integrasi telah bertapak di SMK Mambau bermula 3 Januari 2008. Kelas ini telah dibuka oleh Puan Norhayati Mohamed. Pada permulaannya kelas ini dibuka mempunyai sebuah kelas dengan 7 orang pelajar. Pertambahan pelajar dan guru telah menjadi jumlah keseluruhannya 9 orang pelajar dan  orang guru pada bulan Febuari. Pada bulan April, kelas telah menambah lagi seorang lagi pelajar dan pada bulan Mei pihak sekolah telah menerima seorang Pembantu pengurusan Murid untuk membantu di PPKI. Pada bulan Oktober juga kami menerima lagi 3 orang pelajar baru dan jumlah keseluruhannya 12 orang pelajar, 2 orang guru dan seorang pembantu menjelang hujung tahun persekolahan.

               

            Kemasukkan pelajar ke kelas PPKI perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan iaitu pelajar perlu menjalani pemeriksaan doktor pakar. Apabila doktor pakar telah mengesahkan bahawa murid tersebut mengalami masalah pembelajaran dan perlu ditempatkan ke kelas khas, maka penempatan akan dibuat oleh Jabatan Pelajaran Negeri di sekolah yang bersesuaian. Kemudian murid berkenaan boleh mengikuti pendidikan khas di kelas yang disediakan. Kanak-kanak ini akan berada di sekolah rendah sehingga berumur 13 tahun. Manakala pelajar yang akan berada di sekolah menengah sehingga berumur 19 tahun. Pendidikan Khas ini bertujuan untuk melatih kanak-kanak mengurus diri untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

 

            Hasil keperihatinan pihak pentadbir sekolah, guru, pihak Jabatan Pelajaran Negeri dan masyarakat sekeliling sebuah kelas dapat diwujudkan untuk kemudahan pengajarandan pembelajaran bagi memastikan murid-murid mendapat pendidikan yang sewajarnya. Sebagai sebuah program yang baru dibuka maka banyak lagi aspek yang perlu diambil kira untuk dilengkapkan dari semasa ke semasa.