Tuesday 30 July 2019

MINGGU SAINS DAN MATEMATIK PPKI TAHUN 2019

Program ini dianjurkan oleh bidang Sains dan Matematik SMK Mambau dengan bertemakan "Sains dan Matematik Melestarikan Kehidupan". Oleh itu PPKI SMK Mambau juga mengambil inisiatif untuk menjayakan Minggu Sains dan Matematik dengan melibatkan semua murid PPKI. Pelbagai aktiviti yang menarik telah dirancang seiring dengan penerimaan pelajar agar dapat menarik minat pelajar PPKI.

Program ini telah berlangsung selama 2 hari iaitu pada 18 hingga 19 Julai 2019. Antara objektif utama program ialah:

 - Untuk meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.
 - Memberi peluang kepada murid menunjukkan kreativiti mereka dan berfikir secara kreatif dan 
    kritis.
 - Menambah pengetahuan dan pengalaman murid
 - Menggalakan murid melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti dan pertandingan

Antara aktiviti yang telah disediakan untuk murid-murid ialah explorace, movie time, let's think about it ( eksperimen mudah ) dan bijak fikir. 


Aktiviti explorace...

Dalam aktiviti ini, murid-murid telah dibahagikan kepada 4 kumpulan. Di mana setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan di setiap stesen dan mendapatkan tandatangan pengesahan sekiranya berjaya menyelesaikan tugasan tersebut. Kumpulan yang mencatat masa terpantas menyelesaikan semua tugasan di setiap stesen di kira sebagai pemenang.

KUMPULAN ARGON (diketuai oleh Jethro)

KUMPULAN BETA (diketuai oleh Norizwan)

KUMPULAN CARBON (diketuai oleh Rumithira)

KUMPULAN DELTA (diketuai oleh Biraj)

STESEN 1 : TINDIH GETAH (Cikgu Nanthamalar dan Pn Farawahida)

Aktiviti:  1. Murid berdiri di belakang garisan yang dibina.
               2. Secara berpasangan, murid pertama baling getah dan diikuti oleh murid kedua. Balingan 
                   murid kedua perlu dipastikan bertindih pada getah balingan yang pertama.
               3. Kumpulan tersebut dianggap berjaya jika dapat mengumpul 5 pasangan getah yang 
                   bertindih.
              


STESEN 2 : HATI-HATI! ( Cikgu Che Haslina(tudung coklat) dan Puan Khamisah )

Aktiviti : 1. Murid perlu mengira huruf besar ' M' yang terdapat pada worksheet.
                2. Ketepatan jawapan diambil kira 


STESEN 3: SITI MUSLIHAT ( Cikgu Margaret Mary dan Cikgu Shahina Ashikeen)

Aktiviti : Murid perlu bekerjasama dalam kumpulan mengasingkan campuran semua bahan                                 mengikut jenisnya.

Tugasan di stesen ini sangat memerlukan ketelitian dan tahap kesabaran yang sangat tinggi..


STESEN 4 : GUNAKAN PANCAINDERAMU! ( Cikgu Margaret Ann dan Cikgu Nuraisyah)

Aktiviti : Semua ahli kumpulan perlu menutup mata dan meneka bahan yang disediakan 
               menggunakan organ deria masing-masing kecuali mata.



Penerangan tentang tugasan sebelum aktiviti bermula.
















Selesai aktiviti explorace, semua murid berehat dan solat Dhuha. 

Tepat jam 10.30 pagi mereka semua bergerak ke Pusat Kegiatan Guru (PKG) untuk tayangan movie "The Meg"...

Tiket masuk adalah percuma ye...

Filem The Meg mengisahkan tentang pertarungan sekumpulan manusia yang cuba mencegah makhluk (jerung) buas iaitu Megalodon yang bersaiz lima kali ganda saiz seekor ikan jerung putih gergasi di bawah/dasar laut yang sangat ganas.









Aktiviti pada keesokkan harinya pula ialah aktiviti Bijak Fikir. 

Aktiviti ini dikendalikan oleh Cikgu Malini yang juga merupakan penyelaras program Minggu Sains dan Matematik.

Murid dikehendaki menjawab soalan kuiz lisan secara spontan dan hadiah disediakan bagi murid yang memberi jawapan yang betul.

Soalan kuiz menguji pengetahuan sedia ada murid tentang topik subjek Sains dan Matematik.

Tahap kesukaran soalan yang diajukan meliputi 3 tahap iaitu mudah, sederhana dan sukar. Oleh itu,  semua murid berpeluang untuk menjawab soalan tersebut.

Tahniah kepada semua murid yang berani mencuba untuk menjawab....



Tahniah Izwan

Tahniah Hafiz

Tahniah Jethro

Tahniah Wong



Terima kasih kepada En Khairulhadi, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Mambau yang baru kerana sudi datang  ke program kami dan berkenalan dengan anak-anak PPKI kami.




Selepas rehat, iaitu pada pukul 10.00 pagi, aktiviti yang terakhir iaitu aktiviti "Let's Think About It". Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan dan semua kumpulan dikehendaki melakukan eksperimen mudah di setiap stesen yang disediakan. Terdapat 4 buah stesen iaitu :

1. Stesen 1 : Tiup belon menggunakan cuka dan soda
2. Stesen 2 : Susu dan pewarna
3. Stesen 3 : Beg plastik ajaib
4. Stesen 4 : Tisu terbang



STESEN 1 ( Cikgu Margaret Mary dan Puan Khamisah)
TIUP BELON MENGGUNAKAN CUKA DAN SODA













Bahan-bahan yang diperlukan dalam eksperimen ini ialah, cuka, botol, belon dan soda bikarbonat.

Apabila soda penaik dan cuka bercampur, ia akan bertindak balas dan menghasilkan gas karbon dioksida (C02) yang mana akan meniup belon tersebut.


STESEN 2 ( Cikgu Margaret Ann dan Puan Farawahida)
SUSU DAN PEWARNA





Bahan-bahan yang diperlukan dalam eksperimen ini pula ialah pinggan, susu penuh krim, pewarna makanan, putik kapas dan sabun pencuci pinggan.

Pewarna makanan adalah kurang tumpat daripada susu. Jadi, setiap pewarna yang dititiskan ke dalam pinggan akan terapung dipermukaan. Walau bagaimana pun penambahan sabun pencuci pinggan menggunakan hujung putik kapas akan memecahkan permukaan itu dengan melarutkan molekul lemak susu. Pewarna kemudian akan mula bergerak ke seluruh permukaan susu kerana cuba menjauhkan diri daripada sabun. Akhirnya terhasillah susu pelangi yang cantik...

Selain dapat melihat pergerakan warna dalam susu, murid-murid juga turut belajar tentang hasil gabungan warna melalui eksperimen ini. Ini kerana, sekiranya menggunakan warna asas seperti merah, kuning atau biru, gabungan warna-warna asas ini melalui  pergerakan warna tadi akan menghasilkan warna  baru. Sebagai contoh, gabungan warna biru dan kuning akan menghasilkan warna hijau.


STESEN 3 : ( Cikgu Che Haslina dan Cikgu Azlina)
BEG PLASTIK AJAIB










Bahan-bahan yang digunakan dalam eksperimen ini ialah beg plastik jenis ziploc, beberapa batang pensel yang diasah tajam dan air yang mencukupi untuk mengisi beg plastik.

Beg plastik ziploc dihasilkan menggunakan polimer yang fleksibel. Apabila ia ditebuk dengan pensel, plastik akan meregang dan menghasilkan lekapan yang kedap dan kuat disekeliling pensel. Jadi, ia tidak akan bocor.



STESEN 4 : (Cikgu Shahina Ashikeen dan Puan Fazeedatu Azua)
"HANTU' TISU TERBANG


Gosok jangan tak gosok

Haaa..nampk tak "hantu" tisu dah bangkit tu...hiiiiiiiiiiiiii (sound effect seram)



Bahan-bahan yang digunakan dalam eksperimen ini ialah belon yang berisi angin dan tisu muka.

Belon akan digosok pada rambut atau baju untuk menghasilkan cas negatif pada belon. Apabila belon didekatkan kepada tisu yang bercas positif, ia akan menarik tisu tersebut  dan menyebabkan tisu untuk menegak (terbang).


Setelah semua kumpulan berjaya menyelesaikan semua eksperimen di setiap stesen, maka berkahirlah sudah aktiviti Minggu Sains dan Matematik PPKI bagi tahun 2019. Seronok betul masing-masing mencuba setiap aktiviti. 

Jelas tergambar kepuasan dam keseronokan di wajah masing-masing apabila belon mereka mengembang dengan sendirinya, "hantu" tisu tetiba tegak di siang hari, aktiviti magic mereka menjadi apabila plastik tak bocor walaupun dicucuk, dan berjaya menghasilkan susu pelangi yang cantik. Tahniahhhh...semua...

Bagi kumpulan yang menang dalam aktiviti explorace, hadiah menanti anda semua. Hadiah akan disampaikan dalam satu majlis ringkas pada hari Jumaat minggu hadapan ye. Berdebar masing-masing nak tau kumpulan mana yang menang. 
Asyik bertanya je kerjanya. Tak sabar-sabar nak tau.

26 JULAI 2019...

JENG..JENG..JENGG..

Haaa...sampailah masa dan ketikanya pemenang diumumkan. Majlis penyampaian hadiah ini disempurnakan oleh Penolong Kanan PPKI, En Roslan bin Ibrahim.

Tempat pertama dimenangi oleh kumpulan......CARBON,
Naib johan kumpulan DELTA
Tempat ketiga kumpulan BETA
Saguhati kumpulan ARGON...

Tahniahhh semua ...