PENGENALAN
Pendidikan Khas merupakan pendidikan yang memfokuskan masalah kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran. Ini berpunca daripada masalah fizikal dan mental. Pendidikan Khas ini disediakan khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Mereka termasuk dalam golongan kanak-kanak yang dikenal pasti dan disahkan oleh pakar professional klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu masalah pembelajaran. Kecacatan yang dialami boleh dikategorikan mengikut tahap kefungsian kanak-kanak dalam kebolehan-kebolehan berikut :
- Kebolehan kognitif
- Tingkah laku sosial / perkembangan sosial
- Penguasaan bahasa lisan dan pertuturan
- Penguasaan membaca
- Kemahiran perkembangan (development skills)
- Kemahiran matematik
Falsafah pendidikan Negara
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bagi melahirkan warga Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.
Falsafah Pendidikan Khas
Pendidikan Khas di Malaysia adalah suatu usaha berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, boleh merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sebagai individu dan sebagai ahli masyarakat yang seimbang serta dapat memberikan sumbangan dan keharmonian kepada kemakmuran Negara.
Visi Pendidikan Negara
Menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada murid-murid berkeperluan khas ke arah kecemerlangan hidup sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Misi Pendidikan Khas
Menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid berkeperluan khas untuk menjadikan mereka insan yang dapat berdikari, berjaya dalam hidup dan memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat dan Negara.
Maksud Pendidikan khas
Pendidikan Khas bererti program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid-murid khas. Ini termasuk penggunaan bahan-bahan khas, peralatan khas, teknik pengajaran dan pembelajaran mengikuti tahap kebolehan dan keupayaan murid.
Ia bertujuan untuk MENDIDIK dan MEMBENTUK murid melalui
- Perkembangan mental
- Kestabilan emosi
- Integrasi sosial
Ciri-ciri Pendidikan Khas
Antara beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkaan sebelum program pendidikan khas dapat dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Guru-guru terlatih khas
- Pendekatan pelbagai disiplin
- Program pendidikan individu
- Kurikulum khas
- Objektif yang nyata, bermakna dan berjangka pendek
- Analisis tugasan
- Penglibatan murid secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran
- Penilaian berterusan, penyimpanan rekod dan RPI
- Kaedah pengajaran khas
- Bimbingan dan kaunseling ibu bapa dan murid
Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi ( PPKI )
Program Pendidikan Khas Integrasi merupakan sebuah kelas yang dikhaskan untuk kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pembelajaran. Walaupun mereka bermasalah dalam pembelajaran tetapi mereka masih lagi boleh memahami arahan. Pengajaran yang ditekankan di sini lebih merupakan latihan kemahiran diri atau kemahiran hidup yang boleh diadaptasikan oleh kanak-kanak ini dalam kehidupan seharian mereka. Ini selaras dengan pendekatan baru yang menekan kepada kebolehan kefungsian, kemahiran, perkembangan, penguasaan dan pencapaian kanak-kanak tersebut dalam kemahiran-kemahiran pengembangan ( Development Skills ).
Kelas Pendidikan Khas Inklusif
Pendidikan inklusif adalah program bagi menempatkan murid Pendidikan Khas yang telah menguasai sebahagian besar mata pelajaran ( akademik ) ke kelas biasauntuk mengikuti suasana pembelajaran normal. Program Pendidikan inklusif ini boleh dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah bergantung kepada laporan prestasi atau Rancangan Pendidikan Individu
Pendidikan inklusif voleh dijalankan dalam dua bentuk
a) Separa inklusif : Pelajar mengikuti pembelajaran di kelas biasa untuk mata pelajaran tertentu sahaja. Waktu selebihnya mengikuti program di kelas khas. Senarai nama murid berada di dalam daftar Program Pendidikan Khas. Guru Pendidikan Khas terlibat sebagai pembimbing atau pendamping. Ujian mata pelajaran terlibat sama dengan murid biasa.
b) Inklusif sepenuh masa : Murid mengikuti semua mata pelajaran di kelas biasa seperti murid biasa. Senarai murid kekal dalam daftar kelas khas. Guru kelas biasa boleh rujuk atau minta bantuan daripada guru pendidkan Khas ( guru pendamping) sekiranya terdapat sebarang masalah sama ada dari segi akademik boleh diberi peluang untuk mengambil peperiksaan UPSR/PMR/SPM dan sebagainya